Ahad, November 09, 2014

apakah persediaan diriku????

Lepas Asar.
Ada jenazah sampai di surau.
Pak imam suruh kami solat jenazah. Solat jenazah boleh dilakukan walaupun selepas Asar. Kerana yang lebih utama pada jenazah adalah mengebumikannya dengan segera.
Hanya ada satu saf. Tak sampai 10 orang.
Selesai solat.

Jenazah diusung ke perkuburan.
Awan gelap. Menitiskan air ke permukaan bumi.
Selesai dikebumikan. Hujan turun dengan lebat sekali.

Aku, pak imam dan pak bilal kebasahan. Semua yang hadir majlis pengebumian tadi segera balik.
Kami berteduh seketika di wakaf berhampiran kubur.

Pak imam berbicara.
"Yang meninggal tadi, baru 30 tahun umurnya."
Aku bertanya,
"Meninggal kenapa?"
Pak imam menggelengkan kepalanya. Pak bilal menjawab,
"Macam-macam sebab seseorang itu meninggal dunia. Yang lebih tepat, itu saja peruntukan umur yang Allah sediakan untuknya.
Dia sendiri tak tahu dia akan mati. Aku pun tak tahu. Pak imam pun tak tahu. Kau juga tak tahu."
Aku terdiam.
Pak imam menyambung kata,
"Macam hidup ni. Tadi, masih pagi. Sekarang, sudah petang. Kejap lagi, malam. Tidur malam ni, esok bermula lagi hari baru. Hayat hidup kita makin berkurang.
Siang malam silih berganti. Tapi, iman masih sama. Tidak salin baru. Ular pun bersalin kulit, tapi iman kita kekal kulit yang sama. Buruk, hodoh.
Bayangkan akuarium, andai airnya tidak disalin dan dibiarkan saja berkelodak, akhirnya akan jadi lumut saja. Kotor. Ikan-ikan di dalamnya akan mati sendiri.
Ulama kata, hidup ni umpama dua siang. Hari ini hidup, esok mati."
Pak bilal mencelah.
"Tiada siapa tahu, hidupnya sekarang sebenarnya telah pun sampai ke garis penamat. Dah nak sampai ke stesen. Stesen barzakh.

Tidak tahu yang diri dah nak sampai tu takpe lagi.
Tapi, pergi dengan tangan kosong. Dengan beg kosong. Tak bawa apa-apa pun."
Pak bilal berkata penutup,
"Tanyalah diri, 'beg aku sekarang sudah penuh atau hanya debu?'"
Aku tersentak sendiri.
Berpaling ke arah deraian hujan lebat. Berderai-derai air mata. Dalam hati berkata,
"Aku lagilah tak ada apa-apa. Belajar tajwid pun baru nak mula."
Sebak. Pak imam dan pak bilal pun menangis sama di belakangku.
Hujan lebat dalam hati kami.

copy dr fb..

~nurDia~

Tiada ulasan: