Rabu, Oktober 23, 2013

USAH SEDIH BERPANJANGAN...

Hidup ini memang singkat dan terlalu sayang kalau tidak diisi dengan hal-hal yang bermanfaat. Bahkan amat merugikan jika hidup ini hanya diisi dengan keseronokan duniawi semata. Bukankah ada kebahagiaan yang lebih hakiki iaitu kampung akhirat…. 

Sering kali kita merasa tidak bahagia dan sedih yang berpanjangan hanya kerana harapan-harapan kita tidak kesampaian. Bermacam jenis kegagalan dalam hidup ini yang sering membunuh kegembiraan dan kebahagian kita. Kita pula terkadang terlalu lemah sehinggakan hanyut dalam kesedihan dan terlupa bahawa itu semua hanyalah satu ujian hidup yang bersifat sementara. 

Tanpa disedari amat rugi jika hidup kita yang singkat ini hanya diisi dengan kesedihan. Ingatlah bahawa hidup ini adalah satu proses pembelajaran. Jika diteliti secara halus sebenarnya semua permasalahan dalam hidup ini bermula daripada kedaifan kita sendiri. Maksudnya kita perlu belajar untuk terus memperbaiki diri kerana itulah tujuan hidup, belajar dan terus belajar menjadi insan yang lebih baik, lebih cemerlang dan lebih bermaruah! 

Ketika Allah memberikan kesulitan kepada manusia, sudah pasti ia juga diiringi kelapangan dan kemudahan. Mungkin hadis Nabi ini boleh kita renungkan untuk kebaikan diri. “Aku mengikuti sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, maka biarkanlah ia memikirkan tentang-Ku sekehendak hatinya.” (Hadits Qudsi) 

Hakikatnya hidup ini indah. Hidup ini terlalu indah jadi sayang sekali jika hidup ini hanya kita isikan dengan kekecewaan, kesedihan, rasa sakit hati dan derai air mata yang berpanjangan. Kehidupan ini adalah anugerah dari Maha Esa. Bersyukurlah kerana kita masih diberi kehidupan dan masih boleh melakukan hal-hal yang baik dan bermanfaat bagi orang lain. Kerana di saat hidup ini berakhir…kita sudah tidak dapat melakukannya lagi!!! 


~nurDia~

Tiada ulasan: