Islam melarang kita melakukan sesuatu perbuatan yang memalukan diri seperti kentut dihadapan orang ramai
dan sebagainya. Walaubagaimanpun bagi mereka yang terkentut maka
hendaklah menyembunyikan perbuatannya dan meneruskan pekerjaannya
seperti biasa.
Hal ini berdasarkan hadith daripada Aisyah RA
yang berkata, Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda : إِذَا أَحْدَثَ
أَحَدُكُمْ فِي صَلَاتِهِ فَلْيَأْخُذْ بِأَنْفِهِ ثُمَّ لِيَنْصَرِفْ
'Jika salah seorang daripada kamu terkentut sewaktu solatnya maka
hendaklah dia memegang hidungnya lalu beredar (dari solat).' [riwayat
Abu Daud no. 1114]
Kata al-Khattabi, perintah supaya memegang
hidung itu supaya seolah-olah orang lain menyangka dia menghadapi hidung
berdarah dan keluar bukan sebab kentut. Ini adalah bagi melindungi
perkara yang memalukan dan tidak termasuk berbohong sebaliknya dari
akhlak yang baik. [Awn al-Ma'bood]
Manakala bagi orang yang
lain pula adalah haram mengejek dan mentertawakan orang yang terkentut
sebaliknya mereka harus meneruskan urusan seperti biasa seolah-olah
tiada apa-apa yang berlaku. Bahkan di dalam hal ini, menutup aib saudara
kita adalah merupakan suatu sunnah dan kemuliaan.
Abdullah bin
Zam'ah RA meriwayatkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam menegur
perbuatan mereka yang ketawa ketika terkentut dan buang angin dengan
sabdanya : لِمَ يَضْحَكُ أَحَدُكُمْ مِمَّا يَفْعَلُ 'Kenapa salah
seorang daripada kamu ketawa terhadap apa yang dia juga lakukannya?
[riwayat al-Bukhaari dan Muslim]
Hadith di atas bermaksud
kentut itu dilakukan oleh semua orang maka tidak sepatutnya dia ketawa
terhadap orang yang terkentut kerana dia juga mengalaminya. Bahkan Imam
An-Nawawi rahimahullah menyebutkan bahawa hal ini adalah menjadi hujah
bahawa dilarang mentertawakan orang yang kentut sebaliknya dia harus
mengabaikannya dan meneruskan urusannya seperti biasa seolah-olah dia
tidak mendengarnya. Hal ini termasuk dalam adab dan akhlak yang baik
dengan manusia lain. [Al-Minhaj]
~nurDia~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan